• 2025-09-04 03:38 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pasangan suami isteri menurunkan hantaran yang didakwa berbaur fitnah terhadap pelakon Fattah Amin di laman sosial berhubung isu perceraian dengan selebriti Fazura.

Peguam Mohd Faiz Iskandar Hamzah yang mewakili Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata Hakim Datuk Anand Ponnudurai membenarkan permohonan injunksi ad-interim oleh Fattah supaya Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan suaminya Mohd Hafizzuddin Hamri selaku defendan menurunkan hantaran terbabit.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan plaintif (Fattah) terhadap kedua-dua defendan. Mahkamah telah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah injunksi ad-interim supaya defendan menurunkan semua hantaran di media sosial.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya, tidak menerbitkan sebarang kenyataan berkenaan terhadap plaintif, khususnya tentang dakwaan kononnya plaintif telah berlaku curang, sehingga pelupusan penuh permohonan injunksi itu. Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 25 Sept,“ kata peguam itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding di dalam kamar.

Dalam pernyataan tuntutan saman yang difailkan pada 26 Ogos lepas, Fattah, 35, mendakwa Nuraien Adilla, 29, yang merupakan pempengaruh media sosial dan suaminya Mohd Hafizzuddin, 29, seorang yang bergiat aktif dalam aktiviti perdagangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing telah menerbitkan kenyataan fitnah dalam akaun Threads masing-masing pada 29 Julai dan 22 Ogos lepas.

Fattah berkata kenyataan fitnah yang dibuat Nuraien Adilla telah diterbitkan, ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas kepada pihak ketiga antaranya beberapa portal hiburan, yang mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat terhadap beliau.

Menurut Fattah, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau telah berlaku curang dengan Fazura apabila mempunyai hubungan dengan seorang wanita berinisial “SA”, perbuatan curangnya dengan wanita terbabit merupakan punca perceraian dengan Fazura, seorang yang hipokrit dan munafik apabila memaparkan imej bertentangan dengan sifat asal beliau yang berlaku curang.

“Defendan-defendan secara bersepakat menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya. Mereka berbuat demikian dengan tujuan utama untuk mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi, memalukan saya di mata masyarakat umum serta dalam bidang profesional saya.

“Akibat daripada tindakan mereka itu, saya telah mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum selain tindakan itu mencemarkan nama baik saya,“ katanya dalam pernyataan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Fattah memohon suatu injunksi untuk menghalang defendan-defendan atau ejennya mengeluarkan, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.

Fattah turut memohon kedua-dua defendan membuat kenyataan maaf tidak bersyarat secara bertulis atas terma yang dipersetujui oleh plaintif di akaun Threads defendan dan mana-mana akaun media sosial dalam kawalan mereka, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM5 juta serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah - BERNAMA