PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan agar saman sekumpulan 137 Orang Asli untuk membatalkan status agama Islam mereka, yang sebelum ini ditolak, dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan.

Keputusan itu dibuat selepas pihak yang terlibat dalam kes berkenaan bersetuju mengembalikan kes tersebut kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar semula permohonan lima defendan termasuk kerajaan Persekutuan bagi membatalkan saman plaintif.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk S.Nantha Balan, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan rayuan kumpulan Orang Asli itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Okt tahun lepas yang memihak kepada defendan.

Selain Kerajaan Persekutuan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pengarahnya, pegawainya dan Majlis Agama Islam dan Kastam Melayu (MUIP) Pahang dinamakan sebagai defendan dalam saman kumpulan Orang Asli berkenaan.

Panel itu juga membenarkan lanjutan masa yang dimohon oleh plaintif untuk menyerahkan dokumen yang difailkan lewat berkaitan respons terhadap permohonan bagi membatalkan saman itu oleh defendan.

Nantha Balan juga berkata defendan pula dibenar memfailkan afidavit balasan selewat-lewatnya 11 Nov ini.

Beliau turut mengarahkan kumpulan Orang Asli itu membayar RM5,000 sebagai kos guaman masing-masing kepada Kerajaan Persekutuan, JAKOA dan MUIP.

Terdahulu, hakim itu berkata terdapat dakwaan serius dalam pernyataan tuntutan plaintif dan peguam mereka telah menjelaskan tentang kelewatan memfailkan afidavit balasan.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan plaintif supaya diberi lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit balasan.

Mahkamah itu kemudian meneruskan pendengaran permohonan bagi membatalkan saman itu dan membuat keputusan yang memihak kepada defendan.

Pada prosiding hari ini, peguam A.Surendra Ananth yang mewakili plaintif memaklumkan bahawa kes berkenaan perlu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi dan berkata anak guamnya sepatutnya diberi lanjutan masa untuk memfailkan afidavit balasan mereka.

Kesemua plaintif daripada suku Bateq Tanum di Kuala Lipis, Pahang itu telah memfailkan saman pada 9 Sept 2022 yang mendakwa mereka telah diislamkan secara tidak sah dan memohon perintah untuk membatalkan status agama mereka.

Kerajaan Persekutuan, JAKOA dan MUIP kemudian memohon untuk membatalkan saman itu yang disokong oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili JAKOA dan Kerajaan Persekutuan, peguam Norazali Nordin mewakili MUIP manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Abdul Hafiz Razat mewakili kerajaan negeri.