PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas adalah kekejaman paling jarang ditemui dan mahkamah tidak akan bertoleransi dalam jenayah sebegini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim ketika membacakan penghakiman setebal 93 muka surat selama tiga jam berkata ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati (Zulfarhan) dikembalikan ke pangkuan mereka untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) yang melibatkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat dan perbuatan zalim sebegini harus dihentikan.

“Mahkamah tidak akan bertoleransi di dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian si mati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Panel tiga hakim itu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan tujuh tahun lepas, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.

Keenam-enam bekas penuntut itu yang kini berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hadhariah berkata mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan telah ‘menggugat bukan sahaja hati nurani pihak mahkamah tetapi juga hati nurani masyarakat secara keseluruhan”.

Beliau berkata di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 16 Mac 2023, hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan bunuh ialah hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Bagaimanapun dalam kes ini, Hadhariah berkata faktor-faktor yang memberatkan hukuman adalah si mati orang yang tidak bersalah dan perbuatan tertuduh pertama hingga kelima cukup kejam.

“Si mati diikat kaki dan tangan semasa mereka menekap seterika ke badan si mati dan sebelum diseterika, si mati telah pun dipukul beramai-ramai.

“Walaupun keenam-enam tertuduh nampak dan melihat si mati menggelupur kesakitan, mereka tutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika pada keseluruhan badan si mati (kecuali di bahagian muka) sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur,” menurut hakim itu.