SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membaca keputusan berkenaan, Bhupindar Singh berkata responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung Ummu Haiman Bee itu bagi menjalankan bedah siasat kedua.
“Responden pertama boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu,” katanya dalam prosiding keputusan kepada permohonan gali semula kubur pelatih Palapes UTM itu hari ini. – Bernama