GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan prosiding bela diri empat individu yang dituduh membunuh mangsa buli T. Nhaveen tujuh tahun lalu.
Perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini ditetapkan semula pada 17 hingga 25 November depan.
Empat tertuduh tersebut ialah J. Ragesuthan, 26, S. Gokulan, 26, dan dua lagi yang masih remaja ketika kejadian.
Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pembebasan seorang lagi tertuduh, S. Gopinaath, 34.
Hakim berkata penangguhan ini bagi mengelakkan perbicaraan berulang yang mungkin memaksa saksi dipanggil semula.
Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 22 September untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan keempat-empat individu itu membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen, 18 tahun.
Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan berjaya memohon pembatalan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka pada 23 Oktober 2023.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan Nhaveen, T. Previin, yang berusia 19 tahun ketika kejadian.
Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk perbicaraan semula, sementara pembebasan Gopinaath dikekalkan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara pukul 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.
Bagi kes kecederaan Previin, lokasi kejadian berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor.
Menurut fakta kes, Nhaveen dipukul dengan topi keledar sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan meninggal dunia enam hari kemudian pada 15 Jun 2017.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Yazid mewakili pendakwaan, manakala peguam Maanveer Singh Dhillon dan R. Thevan mewakili keempat-empat tertuduh. – Bernama