KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mengucapkan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atas pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab, menyatakan harapan agar Wan Ahmad Farid dapat memimpin Badan Kehakiman dengan cemerlang, berani, dan berkomitmen terhadap keadilan.
Mohamad Ezri mengimbau peristiwa pada 2022 apabila Wan Ahmad Farid, yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi, menarik diri daripada mendengar kes berprofil tinggi melibatkan pengiktirafan Queen’s Counsel dari United Kingdom Jonathan Laidlaw dalam kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, Wan Ahmad Farid pernah menyatakan: “Persepsi awam terhadap kemerdekaan badan kehakiman tidak seharusnya diragui. Ini bukan soal cubaan dan kesilapan... sebuah badan kehakiman yang bebas adalah anugerah berharga kepada mana-mana masyarakat. Sekali ia hilang, anarki akan berlaku.”
“Kenyataan ini menunjukkan kefahaman mendalam terhadap peranan suci badan kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang. Kami berharap, di bawah kepimpinan baharu ini, badan kehakiman akan terus mengekalkan tahap tertinggi kemerdekaan, integriti dan khidmat kepada negara serta mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi,” kata Mohamad Ezri dalam satu kenyataan.
Majlis Peguam turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Abu Bakar Jais atas pelantikannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Mohamad Ezri menyatakan harapan agar kekosongan jawatan penting di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi akan diisi dengan segera dan secara telus bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman.
Pelantikan Wan Ahmad Farid, 62, sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Beliau menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.
Sementara itu, Abu Bakar, 63, mengisi jawatan Presiden Mahkamah Rayuan yang kosong selepas persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai, manakala Azizah, 63, menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang akan bersara pada 25 Julai. - Bernama