KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah mengenakan duti anti-lambakan sementara ke atas produk gegelung besi bergalvani dan keluli bergalvani yang diimport dari China, Korea Selatan, dan Vietnam. Langkah ini diambil selepas penyiasatan mendapati produk tersebut dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran domestik negara-negara terbabit.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), duti sementara ini akan dikenakan dalam bentuk jaminan bank dengan kadar antara 3.86 peratus hingga 57.90 peratus. Ia berkuat kuasa selama 120 hari bermula 7 Julai 2025.
“Penentuan awal dibuat berdasarkan Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993. Tindakan ini bertujuan mengelakkan kecederaan material terhadap industri tempatan semasa siasatan diteruskan,“ jelas MITI dalam kenyataan rasmi.
Penyiasatan bermula pada 6 Februari lalu susulan petisyen CSC Steel Sdn Bhd, yang mewakili pengeluar tempatan. Syarikat itu mendakwa import pada harga rendah telah menjejaskan industri domestik.
MITI turut mengalu-alukan maklum balas daripada pihak berkepentingan sebelum 14 Julai 2025. Laporan penentuan awal boleh diakses melalui sistem Trade Remedies Investigation Management (TRIMA).