• 2025-09-09 01:22 PM

KUALA LUMPUR: Ibu negara hari ini menyaksikan pembukaan rasmi Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN Smart Cities Network (ASCN8) yang berlangsung selama lima hari dari 8-12 September 2025 di Hotel Shangri-La.

Pertemuan bergengsi ini mengumpulkan para pemimpin wilayah, pakar pembangunan bandar pintar dan pelbagai stakeholder dalam konteks Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025.

Upacara perasmian telah dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang turut berkhidmat sebagai Presiden UN-Habitat, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memimpin agenda pembangunan bandar berkelanjutan di peringkat dunia.

Jawatan tersebut menggambarkan pengiktirafan global terhadap peranan Malaysia dalam memacu pembangunan bandar yang berkelanjutan, inklusif dan berketahanan.

Dalam ucaptamanya, Nga enyatakan bahawa “Hari ini bukan sekadar pembukaan sebuah mesyuarat tetapi permulaan sebuah perjalanan bersama. Ruang di mana impian serta aspirasi berpadu dan harapan digerakkan untuk menerangi masa depan bandar dan masyarakat kita”.

Menteri tersebut menekankan bahawa ASCN bukan semata-mata mengenai teknologi terkini atau infrastruktur moden, sebaliknya ia perlu berasaskan nilai kemanusiaan, komuniti dan kemasyarakatan yang menyatukan rantau Asia Tenggara.

Sejalan dengan visi tersebut, ASCN8 memberikan penekanan khusus kepada pembangunan ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026-2035 yang bakal menjadi panduan strategik serantau dalam merealisasikan bandar yang hijau, inklusif dan berdigital.

“Sebagai Presiden UN-Habitat, saya yakin ASEAN mampu menjadi teladan kepada dunia bahawa pembangunan bandar bukan sahaja berasaskan kepintaran, tetapi juga berperikemanusiaan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,“ tambah Nga.

Program ASCN8 diperkayakan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi dialog dasar dan teknikal melalui Smart City Connect Exhibition dan Smart City Expert Talk. Platform ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil, sambil meraikan kreativiti penduduk ASEAN dan inovasi rakan kongsi global dalam pelbagai dimensi pembandaran pintar.

Para delegasi ASCN8 juga dijadualkan melakukan kunjungan rasmi ke Putrajaya Command Centre dan Putrajaya Wetlands untuk menyaksikan sendiri kemajuan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur digital serta usaha pemuliharaan alam sekitar berteraskan prinsip kelestarian.

ASCN8 mewakili lebih daripada sekadar mesyuarat tahunan – ia melambangkan azam kolektif ASEAN untuk membentuk bandar masa depan yang inklusif, boleh didiami dan lestari.

Bersesuaian dengan semangat ‘Tiada siapa tertinggal di belakang’, Malaysia meneguhkan dedikasi untuk memastikan faedah pembangunan bandar dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Dengan mengangkat tema ‘Fostering Stronger Cooperation Towards Common Goal for Smart and Sustainable Urban Development in ASEAN’, Malaysia sekali lagi mengukuhkan peranannya sebagai pemimpin serantau dalam memacu kerjasama ASEAN yang lebih komprehensif demi menjayakan agenda bandar pintar dan berkelanjutan untuk generasi mendatang.