KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berusaha memupuk lebih banyak syarikat teknologi yang mampu berkembang menjadi syarikat multinasional (MNC) berasaskan ASEAN dan seterusnya mengembangkan operasi global, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Beliau berkata walaupun banyak perbincangan tertumpu pada sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usaha lebih besar diperlukan untuk melahirkan juara tempatan dan MNC berteknologi tinggi di rantau ini.
“Kita sering bercakap mengenai membantu PKS namun, dari segi amalan sebenar, kita juga membantu MNC asing. Wujud jurang yang tidak kita isi -- kita tidak cukup berusaha untuk mewujudkan MNC Malaysia dan MNC ASEAN yang berasaskan teknologi,” katanya semasa ucaptama di Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SIDC-CASI 2025.
Liew menekankan bahawa pasaran modal perlu melihat potensi syarikat Malaysia dari perspektif baharu.
“Sudah sampai masanya kita berani membentuk pasaran modal dan rantau ini, jika tidak dunia, dengan idea baharu yang mewujudkan ekonomi mampan dan masyarakat makmur -- satu bentuk masyarakat MADANI,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempelbagaikan pasaran eksport kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung pada Amerika Syarikat sebagai pengguna utama. Namun, kepelbagaian pasaran sahaja tidak mencukupi jika negara lain tidak cukup kukuh ekonomi untuk membeli produk Malaysia.
Persidangan selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dan Capacity-building Alliance of Sustainable Investment (CASI), dengan tema “Shaping the Future of ASEAN Business in Sustainability”.
Antara sorotan utama ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SIDC dan CASI bagi memperkukuh kerjasama dalam pendidikan kewangan mampan dan pembangunan bakat di ASEAN serta rantau membangun lain.
SIDC juga melancarkan program Profesional Pasaran Modal yang Diperakui dalam Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab 2 (CCMP-SRI 2), program pensijilan 12 minggu untuk profesional pertengahan hingga kanan. - Bernama