PUTRAJAYA: Malaysia dan Poland akan mempertingkatkan kerjasama pertahanan termasuk meneroka peluang-peluang perolehan jangka panjang dan penglibatan strategik antara kementerian pertahanan masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media bersama Presiden Andrzej Duda dari Poland, Anwar berkata perbincangan antara mereka berkisar kepada usaha mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, selain sektor utama lain seperti teknologi makanan, teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan industri halal.
“Saya gembira apabila mendapat tahu Presiden (Duda) akan ke Port Dickson hari ini, terutama bersama dengan Kementerian Pertahanan.
“Dasar saya sejak memegang jawatan perdana menteri adalah sangat jelas - keutamaan dalam memastikan keperluan Kementerian Pertahanan harus diserahkan kepada pasukan profesional sahaja,” katanya sambil menyatakan bahawa kerjasama pertahanan dua hala mempunyai potensi yang kukuh untuk berkembang maju.
Anwar berkata maklum balas berhubung peralatan tentera Poland termasuk kereta kebal dan sistem elektronik Kumpulan WB, setakat ini adalah positif.
“Saya pastinya harap ada cadangan daripada kedua-dua pihak, jika kita boleh teruskan dan tingkatkan, khususnya dalam bidang pertahanan baharu, kerana kerajaan Poland juga telah mengeluarkan sejumlah dana tambahan untuk menyokong industri pertahanan mereka,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut menekankan kepakaran Poland dalam hidrogen hijau dan teknologi makanan moden, yang boleh melengkapkan industri halal dan matlamat kemampanan Malaysia.
“Saya juga berharap hubungan dua hala ini dapat ditingkatkan dan mengharapkan kepakaran baharu anda dalam hidrogen hijau,“ katanya.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan pertumbuhan 19.5 peratus tahun ke tahun yang menggalakkan dalam perdagangan dua hala antara 2023 dan 2024, dan menyifatkan ia gambaran jelas perkongsian ekonomi yang semakin mendalam antara kedua-dua negara.
“Kami telah membincangkan secara panjang lebar pengembangan eksport termasuk minyak sawit, kayu, produk getah dan elektrik dan elektronik (E&E) serta kerjasama dalam hidrogen hijau,” katanya.
Anwar berkata kedua-dua negara harus terus mempamerkan keupayaan mereka untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang ini, terutamanya dalam bidang yang kedua-dua Malaysia dan Poland mempunyai kelebihan strategik.
Duda yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia tiba pada waktu yang cukup signifikan, semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan ketika Poland menjadi Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh tahun pertama 2025.
Pagi tadi Duda diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, sebelum beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar, dan seterusnya diraikan oleh Perdana Menteri dengan jamuan makan tengah hari rasmi di Seri Perdana.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata lawatan Duda itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.
Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.