• 2025-06-25 01:55 PM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Republik Kyrgyz bersetuju untuk bekerjasama membangunkan sistem perbankan Islam serta memperkukuh perdagangan produk halal, dengan Malaysia menawarkan kepakarannya dalam kedua-dua sektor bagi membantu pembangunan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan di republik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pertemuannya dengan Presiden Sadyr Zhaparov, kedua-dua pemimpin membincangkan penubuhan bank Islam bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih baik.

“Sudah tentu kami membincangkan isu perbankan Islam, halal, pembinaan, penyusunan kewangan dan pelaksanaan program termasuk penubuhan bank Islam.

“Akan ada pertemuan susulan melibatkan menteri-menteri kita. Anda (Zhaparov) membawa barisan menteri penting ke Malaysia dan rakan-rakan menteri saya pasti akan memberi maklum balas, bukan sahaja untuk memperkukuh persefahaman dan persahabatan, tetapi juga memastikan program dan projek dua hala dalam aspek perdagangan dan pelaburan dapat diteruskan,“ katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Zhaparov di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.