IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat sedikit kepada 39 orang setakat 4 petang ini berbanding 34 orang 8 pagi tadi.

Kesemua mangsa melibatkan 11 keluarga daripada Kampung Matang Tengah yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan hanya satu PPS beroperasi setakat ini iaitu di daerah Kerian yang dibuka sejak 2 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan lebat dan ribut petir akan melanda semua daerah di negeri ini pada sebelah petang dan beberapa daerah turut akan mengalami hujan lebat pada sebelah malam.

Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan paras air Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang berada pada tahap amaran dengan bacaan paras air setinggi 21.70 meter melebihi paras normal iaitu pada 21.41 meter.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memaklumkan laluan FT 147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak ditutup susulan kejadian tanah runtuh.

Pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif A111 Alor Pongsu-Bukit Merah yang dibuka kepada semua jenis kenderaan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image