• 2025-09-13 09:12 PM

GERIK: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di anak sungai di kawasan Air Rengat, Temenggor dekat Gerik pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 9.10 pagi daripada Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad Temenggor.

Hasil siasatan awal mendapati kira-kira jam 8.25 pagi seorang lelaki Orang Asli berumur 32 tahun ternampak mayat berada di dalam sungai ketika melalui kawasan berkenaan.

Pengadu kemudian bergegas ke Pengkalan Trojan, Temenggor untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis bantuan TNB.

Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik yang tiba di lokasi kejadian kemudian menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di dalam anak sungai.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh lelaki itu dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tenaga Nasional Berhad memberi jaminan akan memberi bantuan kepada pihak berkuasa susulan penemuan mayat terbabit.

TNB dalam kenyataan memaklumkan mayat itu berada di laluan menuju ke Stesen Janakuasa Temengor iaitu di luar kawasan stesen.

TNB amat berdukacita dan menzahirkan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Kejadian ini tidak melibatkan operasi stesen dan fungsi stesen berjalan seperti biasa.

Pasukan Polis Bantuan TNB segera melaporkan kejadian kepada Balai Polis Daerah Gerik dan pihak polis telah pun berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau kehilangan ahli keluarga diminta segera menghubungi Balai Polis Daerah Gerik melalui talian 05-7912222. – Bernama