SINGAPURA: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan memulakan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari bermula Rabu ini. Lawatan ini diadakan atas jemputan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan sebagai sebahagian daripada Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF).
Onn Hafiz merupakan penerima LKYEF ke-82 dan kesembilan dari Malaysia. Fellowship ini, yang ditubuhkan pada 1991, bertujuan menjemput tokoh-tokoh berpengaruh untuk melawat Singapura. Pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod pencapaian serta potensi mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan hubungan dua hala dengan Singapura.
Semasa lawatan, Onn Hafiz dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Singapura, termasuk Perdana Menteri Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong. Beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat, serta Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.
Selain pertemuan rasmi, Onn Hafiz akan menerima taklimat dan melawat beberapa lokasi penting berkaitan pembangunan dan kerjasama dua hala. - Bernama