• 2025-07-29 02:02 PM

KUALA LUMPUR: Mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) diperkenalkan bagi menggantikan sistem Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) untuk memastikan semakan tarif elektrik lebih telus dan selari dengan pasaran bahan api global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa melalui AFA, tarif elektrik akan disesuaikan setiap bulan berbanding ICPT yang hanya disemak setiap enam bulan.

“Bagi pengguna domestik yang menggunakan bawah 600 kWj dikecualikan daripada AFA, manakala yang menggunakan lebih 600kWj mereka dikenakan caj sumber tenaga, sama ada gas dan arang batu,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadillah menambah, bagi bulan Ogos, pengguna akan menerima rebat sebanyak 1.545 sen per kWj ekoran penurunan harga minyak dan gas.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan menggalakkan pengguna yang menggunakan tenaga tinggi untuk beralih kepada sumber boleh baharu seperti solar bagi menjimatkan kos dan mengurangkan penggunaan tenaga.

Semakan terkini juga melibatkan perubahan pendekatan daripada kategori sektor ekonomi kepada kategori voltan.

“Struktur baharu ini merangkumi caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian dan caj peruncitan bagi setiap kategori pengguna berbanding struktur lama yang hanya mempunyai komponen caj tenaga dan caj minimum,” jelasnya.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melalui Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan jadual tarif elektrik baharu di Semenanjung pada 20 Jun lepas, dengan pelaksanaan bermula 1 Julai 2025. - Bernama