• 2025-07-22 09:50 AM

MELAKA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarahkan diaktifkan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka susulan situasi jerebu yang semakin memburuk. Arahan ini dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan tindakan proaktif diambil mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka, jerebu ini dipercayai berpunca daripada jerebu rentas sempadan akibat tiupan angin barat daya. Data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi setakat 2 petang di Alor Gajah (157), Bukit Rambai (94), dan Bandaraya Melaka (86).

“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan pesakit pernafasan dinasihatkan kurangkan aktiviti luar. Orang ramai juga diingatkan elak pembakaran terbuka,“ menurut kenyataan rasmi.

Pemantauan berterusan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Melaka bersama JAS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Maklumat terkini IPU boleh diakses melalui laman web rasmi JAS atau aplikasi MyJAS EQMS. - Bernama