Your Title

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pengarah dan penerbit filem ‘Mentega Terbang’ untuk merujuk persoalan berkait Perlembagaan melibatkan pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) , dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy membuat keputusan tersebut selepas memutuskan bahawa Seksyen 298 KK adalah sah dan mengikut Perlembagaan serta kekal berkuat kuasa mengikut Artikel 162 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan alasan yang diberikan, mahkamah ini mendapati permohonan pemohon untuk membatalkan Seksyen 298 KK secara kehakiman adalah tidak berasas. Oleh itu, mahkamah juga berpendapat tiada isu perlembagaan yang perlu dirujuk bagi menentukan prosiding jenayah di Mahkamah Majistret.

“Sehubungan itu, permohonan pemohon ditolak. Oleh itu, kes jenayah itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk perbicaraan,” katanya.

Prosiding hari ini dihadiri peguam N. Surendan dan Zaid Malek, mewakili pengarah terbabit, Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan penerbit Tan Meng Kheng, 38, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nor Azizah Aling.

Dua persoalan tersebut adalah untuk menentukan sama ada pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka mengikut Seksyen 298 KK melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara; dan sama ada frasa “melukakan perasaan agama mana-mana individu”, satu elemen dalam kesalahan tersebut, melanggar hak kepada perbicaraan yang adil kerana frasa tersebut adalah kabur dan dengan itu melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan.

Hakim Muniandy berkata penggunaan Seksyen 298 KK adalah sesuai dengan populasi Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, justeru memelihara sensitiviti masyarakat, bangsa, dan agama mereka adalah penting.

“Ungkapan ‘ketenteraman awam’ tidak ditakrifkan di mana-mana tetapi bahaya kepada nyawa manusia dan keselamatan serta gangguan ketenteraman awam harus berada dalam skop ungkapan tersebut,” katanya sambil menambah Seksyen 298 KK adalah undang-undang prakemerdekaan menurut Perkara 160(2) Perlembagaan dan akan terus berkuat kuasa.

Dalam pada itu, hakim berkata Parlimen berhak untuk mengenakan sekatan terhadap hak kebebasan bersuara dan ekspresi demi ketenteraman awam atau moral di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, hubungan langsung Seksyen 298 KK dengan sekatan munasabah yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini cukup luas untuk merangkumi mana-mana tindakan yang diketahui berkemungkinan melukakan perasaan agama orang lain,” katanya.

Pada 17 Jan tahun lepas, Khairianwar yang juga penulis skrip bersama Tan didakwa melukakan perasaan agama lain melalui filem itu.

Mereka didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu dengan berperanan sebagai seorang pengarah, penulis skrip, serta penerbit filem itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, di sini, pada 12.34 tengah hari, 26 Feb tahu n lepas.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan kedua-dua pemohon itu untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Surendran ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini.