KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan memperkenalkan pelan hala tuju baharu pada Oktober ini bagi menggantikan Pelan Tindakan Cebu, yang akan menetapkan keutamaan bagi Proses Menteri Kewangan (FMP) dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata pelan hala tuju itu akan menggariskan inisiatif dan pencapaian jangka sederhana di bawah FMP untuk memajukan Visi Putrajaya APEC bagi komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.

“Penting untuk negara anggota ASEAN bekerjasama dalam APEC bagi memastikan keutamaan bersama kita di Asia Tenggara diterapkan dengan baik dalam pelan hala tuju Asia Pasifik baharu ini dan inisiatif di ASEAN dan APEC adalah konsisten antara satu sama lain dan saling menyokong,“ katanya.

Lim berkata demikian dalam ucap tama pada Persidangan Asia Tenggara yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), dan Forum Kewangan Asia Pasifik (APFF) di sini hari ini.

Beliau menekankan bahawa APEC dan ASEAN berperanan penting dalam menyediakan platform untuk tindakan selaras dan kolektif dalam kalangan negara anggota serta untuk meningkatkan keterlibatan kerajaan dan pengawal selia dengan sektor swasta.

Lim berkata model perniagaan baharu dan kemajuan pesat dalam teknologi boleh membantu menyesuaikan semula penyelesaian pembiayaan untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pengguna yang kurang mendapat perhatian.

“Ini termasuk teknologi digital seperti blockchain, kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum serta produk baharu seperti mata wang kripto, aset token dan mata wang digital. Bagaimanapun, kebanyakan daripada teknologi ini memberi risiko yang belum difahami sepenuhnya pada masa ini.

“Membolehkan pelaksanaan yang selamat dan berkesan turut memerlukan pembaharuan undang-undang, dasar dan peraturan, perubahan dalam amalan industri serta usaha kerjasama untuk mendidik pengguna, pengamal industri dan pengawal selia,“ kata beliau.

Menurut Lim, Malaysia menantikan syor daripada persidangan hari ini yang bertemakan ‘Membiayai Keutamaan Pembangunan Asia Tenggara: Mengenal Pasti Hasil Jangka Sederhana untuk Kerjasama Awam-Swasta.’

“Kami berharap akan dapat meneruskan kerjasama dengan ASEAN-BAC di ASEAN serta mengharapkan perbincangan yang membuahkan hasil pada sesi dialog antara ABAC dan menteri-menteri kewangan APEC pada Oktober ini di Incheon,“ katanya.