KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengadakan pertemuan dua hala dengan pegawai kanan ASEAN dari Kemboja, Indonesia, Thailand, dan Brunei menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58.
Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan agenda, pemuktamadan dokumen hasil bersama, serta aspek logistik dan protokol bagi memastikan kelancaran mesyuarat.
“Perbincangan ini penting untuk memperkukuh persefahaman dalam kalangan negara anggota ASEAN,“ kata Amran.
Beliau memulakan sesi dengan Setiausaha Negara Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Kung Phoak, diikuti Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN Indonesia Sidharto Reza Suryodipuro.
Pertemuan turut diadakan dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand Eksiri Pintaruchi dan Setiausaha Tetap (ASEAN) Brunei Johariah Abdul Wahab.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Acara ini merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus dengan Rakan Dialog ASEAN.
Mesyuarat dijadual berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan kehadiran kira-kira 1,500 perwakilan termasuk menteri luar ASEAN, Timor-Leste, dan rakan dialog serantau.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM buat kali kelima selepas memegang peranan sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. – Bernama