KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerjasama itu antara lain melibatkan perkongsian maklumat.

“Walaupun kes itu di bawah tanggungjawab KDN, kita MINDEF sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam semua aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan warga Israel itu selepas Majlis Temu Rapat MADANI Nelayan Veteran Angkatan Tentera Kelantan di sini malam ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.