• 2025-08-01 10:31 AM

IPOH: Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Ayer Kuning di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak. Ini bukan sekadar satu amanah, tetapi satu tanggungjawab besar yang akan saya galas dengan penuh iltizam dan semangat,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Mohamad Yusri menyatakan komitmennya untuk terus bekerja keras dan mendengar suara rakyat. Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak, Ayer Kuning dapat dibangunkan menjadi lebih sejahtera dan inklusif.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga Ayer Kuning yang telah memberi kepercayaan dan mandat ini. Mari kita terus melangkah bersama,” tambahnya.

Mohamad Yusri memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Ayer Kuning pada 26 April lepas dengan majoriti 5,006 undi. Beliau meraih 11,065 undi, mengatasi Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (6,059 undi) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (1,106 undi) - Bernama