ISTANBUL: Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiba di Istanbul bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula hari ini.
Beliau disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, serta pegawai pengiring dari Turkiye.
Lawatan ini menyaksikan Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri pertahanan termasuk Yasar Guler dari Turkiye, Vugar Mustafayev dari Azerbaijan, dan Hassan Daoud Kayan dari Sudan. Beliau juga akan menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025, yang berlangsung di Pusat Ekspo Istanbul.
“IDEF 2025 merupakan platform penting bagi mempamerkan teknologi pertahanan terkini dan memperkukuh kerjasama antarabangsa,“ kata Mohamed Khaled.
Selain itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Turkiye dijangka ditandatangani semasa pameran tersebut. Mohamed Khaled turut dijadual melawat Istanbul Shipyard bagi meninjau pembinaan tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) Kelompok Kedua oleh syarikat Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM). - Bernama