Your Title

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menghantar pencalonan Budaya Sarapan Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada Mac lepas.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata menerusi pencalonan di bawah List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity itu, Malaysia mengetengahkan tentang budaya makanan sarapan yang menjadi kebiasaan rakyat di negara ini antaranya nasi lemak, roti canai dan teh tarik.

“Sekiranya pencalonan ini berjaya, Motac yakin usaha ini dapat bantu meningkatkan lagi kebolehlihatan Malaysia di peringkat dunia dengan menjadikan negara sebagai tarikan destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian makanan warisan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) tentang usaha kementerian untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bah kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.

Khairul Firdaus berkata Jabatan Warisan Negara telah mengambil inisiatif untuk mewartakan makanan warisan di Malaysia di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi melindungi dan memelihara makanan warisan agar tidak pupus.

“Sebanyak 213 makanan warisan dari pelbagai negeri dan kaum telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan di bawah akta tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga telah menerbitkan empat buku yang dihasilkan dengan penyelidikan yang cukup rapi berhubung makanan warisan antaranya “Makanan Warisan Hampir Pupus” dan “Malaysia Culinary Heritage: The Best Authentic Traditional Recipes”.

Kementerian katanya, turut menyediakan geran untuk mana-mana pihak yang berminat mempromosikan makanan warisan negara bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di luar negara menerusi program tertentu. - Bernama