KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menangkap anjing yang disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Taman Megah, Cheras.
Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKj memaklumkan pasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar dikerah segera ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap anjing terbabit.
MPKj menghantar petugas untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing serta melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran di kawasan sekitar.
Anjing berkenaan telah dibawa ke Pusat Tahanan Haiwan MPKj untuk diasingkan dan ditahan sehingga siasatan kes selesai.
Pihak MPKj akan mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya.
MPKj menyeru agar pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka ke luar premis tanpa pengawasan.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata seorang kanak-kanak lelaki cedera digigit seekor anjing ketika sedang bermain basikal.
Mangsa yang cedera di bahagian kepala kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kajang. – Bernama