SUBANG: Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris secara rasmi mengambil alih jawatan Panglima Tentera Udara (PTU) ke-21 hari ini, menggantikan Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang bersara.
Upacara serah terima tugas berlangsung di Pangkalan Udara Subang, disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar. Turut diadakan ialah upacara kenaikan pangkat Muhamad Norazlan daripada Leftenan Jeneral kepada Jeneral serta istiadat penghargaan buat PTU ke-20.
Muhamad Norazlan, 58, berasal dari Kota Tinggi, Johor, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi dari 1985 hingga 1987. Beliau kemudian menjalani latihan penerbangan di Alor Setar pada 1988. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerbangkan pelbagai pesawat pejuang termasuk Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, MIG29N/UB, dan Sukhoi 30MKM.
Sebelum dilantik sebagai PTU, beliau memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara sejak 28 Jun 2022. Pengalaman luasnya merangkumi peranan sebagai Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (P&P), serta Panglima Operasi Udara.
Sementara itu, Mohd Asghar Khan mengakhiri khidmat selama 42 tahun dalam TUDM selepas menyertai sebagai Pegawai Kadet pada 1983. Beliau terkenal sebagai juruterbang pesawat pejuang seperti A4 Skyhawk, F-5E, dan Sukhoi 30MKM.