SEREMBAN: Negeri Sembilan menerima pengiktirafan sebagai Negeri Paling Progresif di Malaysia untuk tahun 2024 dalam anugerah The International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan bahawa pencapaian ini membuktikan usaha proaktif pasukan pentadbiran kerajaan negeri. “Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, malah sebagai bukti usaha kolektif Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan semua peringkat yang berteraskan tema Bersih, Muafakat dan Sejahtera,“ katanya.
Anugerah ini dinilai berdasarkan 20 kriteria ranking negeri-negeri di Malaysia, termasuk Tarikan bagi Pelabur Global, Financial Security, Ease of Doing Business, Tourism, dan Happiness Index of the People.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Industri dan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) Teo Kok Seong serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Dr Arwan Sabri mewakili pentadbiran negeri menerima anugerah tersebut di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu.
Anugerah berprestij ini dinilai oleh panel profesional terdiri daripada tokoh ternama pelbagai bidang dalam dan luar negara - Bernama