KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa majikan mewakili media The Malaysian Insight serta The Vibes supaya segera melunaskan tunggakan gaji sekumpulan wartawan bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.
Menerusi kenyataan bersama, NUJ dan GERAMM memaklumkan kedua-dua organisasi teguh bersolidariti bersama wartawan terbabit dalam mendepani cabaran menuntut tunggakan gaji selama beberapa bulan itu.
“Perlu ditegaskan bahawa kegagalan membayar gaji serta caruman lain yang menjadi tanggungjawab majikan merupakan kesalahan di bawah Akta Pekerja 1955.
“Ini juga jelas merupakan satu bentuk penindasan serta mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan,” menurut kenyataan itu.
Menurut NUJ dan GERAMM, adalah amat tidak wajar apabila wartawan sebagai pekerja media dilayan seperti peminta sedekah sedangkan setiap sen dituntut merupakan hasil kerja keras yang menyumbang kepada operasi syarikat.
Kenyataan itu menyebut tidak dapat dinafikan pekerja terbabit dihimpit tekanan kewangan dan emosi apabila berdepan dengan tanggungjawab untuk terus menyara diri dan keluarga ekoran masalah berkenaan.
“A free press is not free’ atau erti kata lain ada harga yang perlu dibayar termasuk dalam bentuk gaji setimpal untuk membangun landskap media yang bebas,” katanya.
Pada masa sama, NUJ dan GERAMM berkata kelangsungan landskap media Malaysia dipengaruhi oleh jaminan keadilan terhadap pekerja media dan sebarang bentuk pengabaian tidak boleh dibiarkan.
Justeru, NUJ dan GERAMM menggesa semua pihak agar memberikan sokongan terhadap usaha menuntut hak-hak pekerja media.
“Buat semua pekerja media, menjadi pengamal media adalah untuk menyampaikan berita tetapi jangan lupa cerita kita,” katanya.