KUALA LUMPUR: Hampir 500 tan sisa sampah berjaya dibersihkan dalam Op Mega Pembersihan setakat 2 petang ini di sekitar Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dekat sini susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lepas.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Datuk Ramli Mohd Tahir berkata jumlah sisa dijangka meningkat apabila operasi pembersihan itu yang bermula semalam tamat petang ini.
“Sebanyak 120 tan sisa telah dibersihkan semalam, dan kita jangka akan ada penambahan lagi. Kita sudah menjalankan operasi pembersihan sejak hari ketiga kejadian (3 April) dan menjangkakan keseluruhan jumlah sisa yang dikutip mencecah 500 tan.
“Namun angka ini tidak termasuk tanah dan pasir yang turut dialihkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi pembersihan di sini hari ini.
Beliau berkata selain sisa sampah dan daun kering, pihaknya turut menjalankan kerja-kerja menebang pokok yang terbakar dan mati sebelum dikisar menggunakan jentera khas dan dihantar ke tapak pelupusan.
Ramli berkata sebelum ini, KDEBWM juga melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasir di atas jalan tar dan pembahagi jalan yang terkesan akibat kebakaran berkenaan.
Katanya tong roll-on-roll-off (RORO) turut diletakkan di hujung setiap lorong kawasan perumahan terlibat bagi memudahkan penduduk membuang barangan rumah yang rosak.
Menurut Ramli sekiranya operasi tidak dapat diselesaikan sepenuhnya hari ini, KDEBWM akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk pertimbangan lanjutan tempoh pembersihan.
Sementara itu, penduduk Taman Putra Harmoni Nor Azlina Arifin, 52, mengucapkan penghargaan kepada semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam Op Mega Pembersihan yang disifatkannya meringankan beban penduduk.
“Kerja-kerja pembersihan terutama melibatkan pokok mati yang berisiko merosakkan rumah amat membantu kami. Bumbung rumah saya pecah akibat impak batu dan tanah sewaktu kejadian,” katanya yang kini bersama keluarganya menumpang di sebuah hotel butik berhampiran.
Op Mega Pembersihan selama dua hari itu melibatkan lebih 4,000 sukarelawan daripada lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang digerakkan ke 12 zon di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.