GEORGE TOWN: Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar tokoh seni tetapi juga lambang perpaduan rakyat Malaysia, malah legasinya terus menjadi wadah penyatuan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, dan kaum.

Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy berkata karya P. Ramlee merentas batas bangsa dan agama, menggambarkan kehidupan rakyat biasa dengan nilai kemanusiaan yang tinggi, meliputi kasih sayang, hormat-menghormati, tolong-menolong dan semangat kekeluargaan.

“Saya yakin dan percaya, melalui usaha berterusan dan mesej perpaduan yang dizahirkan dalam karya pemilik nama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu akan terus diingati, relevan, dan menjadi penyuluh kepada keharmonian Malaysia MADANI.

“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat MADANI yang bersatu-padu dan saling menghormati tidak mengira bangsa, budaya serta agama dan P. Ramlee telah meninggalkan kepada kita khazanah hasil usaha serta buah fikirannya yang tidak ternilai.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Minggu Kenangan P. Ramlee: “Satu Dalam Sejuta” dan Bicara Rentak Irama “Kisah Di Sebalik Lagu” di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang Tan Sri Yussof Latiff serta penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan.

Pelbagai program dilaksanakan sepanjang tempoh penganjuran Minggu Kenangan P. Ramlee “Satu Dalam Sejuta” itu, antaranya ceramah perdana oleh Datuk Ustaz Kazim Elias bertajuk “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit” pada 24 Mei dan Larian Legenda “Satu Dalam Sejuta” pada 25 Mei di Padang Kota Lama.

Mengulas lanjut, Saraswathy berkata program itu amat bertepatan dengan aspirasi Ikhtiar 4 dalam Perancangan Strategik Kementerian Perpaduan Negara 2025, khususnya di bawah Kluster Komuniti Sosiobudaya: Semarak Perpaduan.

Ia bertujuan meningkatkan penghayatan terhadap warisan kebangsaan, menyemai rasa bangga terhadap identiti budaya dan memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum melalui kesenian dan sejarah nasional.

“Selain itu, kolaborasi dan kerjasama dalam melaksanakan program sebegini juga amat penting dalam usaha memelihara khazanah warisan negara, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru agensi kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun syarikat korporat yang lain turut serta membentuk kerjasama sebegini demi kepentingan masyarakat dan negara.

“Semoga hasrat Arkib Negara menyebarluaskan maklumat dan mengukuhkan persefahaman dari segi pandangan masyarakat dalam konteks perpaduan melalui mesej yang disampaikan dalam karya P. Ramlee itu mencapai matlamat. Semoga usaha itu, kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia MADANI dapat dikekalkan,“ katanya.