PUTRAJAYA: Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) swasta P10X Academy Sdn Bhd menyasarkan lebih 2,000 tenaga mahir tempatan dapat dilahirkan dalam tempoh lima tahun selaras dengan pelan pengembangannya ke Johor dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas P10X Academy William Lee berkata akademi itu bukan sahaja menawarkan latihan teknikal malah berhasrat membina laluan kerjaya dan keusahawanan baharu untuk golongan muda.
“Ini (sasaran lahirkan tenaga mahir) bukan sekadar angka tetapi satu komitmen besar kami untuk membentuk tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kecantikan automotif.
“Kami ingin melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja profesional tetapi juga mampu membuka peluang kerjaya dan perniagaan, terutamanya kepada belia dan komuniti di kawasan desa dan wilayah,“ katanya pada majlis pelancaran P10X Academy Sdn Bhd oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya komited menjayakan agenda TVET selaras dengan kerajaan dalam membentuk ekosistem TVET nasional yang terangkum.
“TVET terutama dalam bidang kecantikan automotif mempunyai potensi sangat besar dan mendapat permintaan tinggi,” katanya menambah, bidang ini bakal menjadi pemacu kepada ekonomi negara.
P10X Academy yang ditubuhkan pada 2023, merupakan institusi TVET memberi tumpuan kepada latihan teknikal dalam bidang pemasangan cermin gelap, aksesori kenderaan dan penjagaan cat.