KUALA LUMPUR: Pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur dan diberi milik kepada pemaju merupakan isu kritikal yang menjejaskan kualiti hidup penduduk serta fungsi ekologi bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan situasi ini menunjukkan kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah di Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula menyeluruh.
“Terutamanya berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberian milik tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan lapang atau hijau,” katanya pada sidang media berhubung Penyata PAC berkaitan isu pembangunan tanah Kuala Lumpur di Parlimen.
Beliau menjelaskan perkara itu adalah satu daripada 12 dapatan utama PAC selepas mengadakan sembilan prosiding antara 5 Feb hingga 21 Mei 2025 yang melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Mas Ermieyati menekankan prosiding itu turut memanggil mantan Ketua Setiausaha Negara, mantan Menteri Wilayah Persekutuan, mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur serta wakil badan bukan kerajaan seperti Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia, Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur, Persatuan Selamatkan Kuala Lumpur dan wakil penduduk.
Berdasarkan penemuan prosiding, antara dapatan lain yang dirumuskan PAC adalah peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya yang terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama.
“Ini menyebabkan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah kerajaan di Kuala Lumpur,” katanya.
Timbalan Pengerusi PAC Teresa Kok menyatakan PAC mengesyorkan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap untuk memantau hal ehwal tanah termasuk pemberimilikan dan pembangunan tanah Kuala Lumpur.
“Jawatankuasa ini turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Teresa menambah PAC turut mengesyorkan kerajaan mengembalikan kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Menteri yang bertanggungjawab mentadbir Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan akauntabiliti demokrasi.
PAC turut mengesyorkan pindaan terhadap akta berkaitan pembangunan tanah di Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang dilaksanakan di negeri-negeri lain demi memastikan semak dan imbang.
“(Selain itu) DBKL hendaklah memastikan semua transaksi dan keputusan penggunaan tanah selaras dengan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang telah diwartakan,” katanya.
Teresa menegaskan sebarang ketidakpatuhan perlu diberi justifikasi secara terbuka dalam syor lain kepada kerajaan.
Kerajaan perlu memastikan penjualan tanah dibuat secara telus dan terbuka melalui tender serta menyiapkan pindaan kaedah pengiraan premium tanah selewat-lewatnya akhir 2025 supaya sejajar dengan harga pasaran. – Bernama