• 2025-08-01 09:31 AM

SINGAPURA: Tourism Malaysia melancarkan Pakej Mencerap Bintang sempena Malaysia Fest 2025 yang sedang berlangsung di Singapura, mengetengahkan destinasi cerapan bintang paling menakjubkan di Malaysia termasuk Bukit Merah, Pantai Pengkalan Balak, Desaru, Perlis dan Pantai Tok Bali.

Pengarah Tourism Malaysia (Singapura) Norliza Md Zain berkata inisiatif ekopelancongan terbaharu itu menawarkan koleksi terpilih lebih 30 pengalaman sedia untuk ditempah yang direka untuk penggemar astronomi dan pencinta langit malam.

“Dengan menawarkan pakej percutian eksklusif dan pengalaman pelancongan terpilih, Tourism Malaysia Singapura menyasarkan untuk mewujudkan platform dinamik yang menghubungkan pemain industri pelancongan Malaysia dengan minat pelancong Singapura yang semakin meningkat dalam mencari perjalanan yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Pakej Mencerap Bintang itu dilancarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar semasa pembukaan Malaysia Fest 2025 pada Khamis.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan “eco-adventure” dengan menonjolkan landskap semula jadi yang terpelihara serta langit malam tidak tercemar - sesuai untuk aktiviti cerapan bintang.

Pada acara itu, pavilion Tourism Malaysia mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan, dengan 16 pempamer bersama menawarkan tawaran pelancongan eksklusif, pelancongan kesihatan, tarikan taman tema dan penginapan di resort.

Antara pilihan percutian yang ditawarkan termasuk pakej daripada Care Luxury Hotels & Resorts, KPJ Healthcare, Hospitality 360, Lotus Desaru Beach Resort & Spa dan Sunway Theme Parks.

Setiap pembelian di pavilion Tourism Malaysia melayakkan pengunjung menebus hadiah eksklusif, manakala pempamer yang mengambil bahagian turut menawarkan promosi pelancongan istimewa bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang akan datang.

Singapura kekal sebagai penyumbang utama ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia, dengan 8.3 juta pelawat dari negara itu direkodkan antara Januari dan Mei 2025.

Bagi 2025, Malaysia menyasarkan 43 juta ketibaan pelancong antarabangsa, sebagai landasan ke arah VM2026.

Malaysia Fest yang berlangsung selama empat hari akan berakhir pada 3 Ogos - BERNAMA