• 2025-09-03 03:56 PM

PETALING JAYA: Seramai 50 artis mempamerkan karya mereka di pameran Discovering A Beautiful Mind yang dilancarkan di The Curve hari ini.

Pameran selama 12 hari hingga 14 September ini dianjurkan oleh Galeri Kita dengan kerjasama Artists’ Corner.

Lebih 200 karya dipamerkan yang dihasilkan oleh artis neurodivergent termasuk individu autistik, ADHD dan disleksia serta artis neurotypical.

Pengerusi Galeri Kita Datuk Aminuddin Abdul Manaf berkata pameran ini bukan hanya tentang karya seni tetapi juga mewujudkan platform mampan berasaskan keterangkuman.

“Yang kita bangunkan menerusi Discovering A Beautiful Mind bukan pameran untuk sekali sahaja tetapi satu gerakan dengan keterangkuman bukan sekadar simbolik tetapi sistemik,“ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menekankan kreativiti harus menjadi aset negara yang menggerakkan pemerkasaan, perpaduan dan pertumbuhan.

“Menerusi kerjasama ikhlas merentasi komuniti, syarikat dan institusi, kita bersama-sama dapat memastikan seni Malaysia bukan sekadar dikagumi tetapi turut dihormati sebagai penanda aras global untuk keterangkuman dan inovasi budaya,“ tambahnya.

Aminuddin juga berkata sokongan daripada kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memperkukuh ekosistem kreatif Malaysia.

“Jika Malaysia mahu membina ekosistem kreatif yang benar-benar lestari, maka setiap artis, tanpa mengira keupayaan, latar belakang atau label, perlu diberi ruang yang sama untuk mencipta, bersaing dan berkembang,“ ujarnya.

Pameran ini disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hasil daripada jualan karya akan disalurkan kepada program pendidikan di Galeri Kita serta Artists’ Corner. – Bernama