BALIK PULAU: Empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran ganja di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam serbuan pertama di Kampung Permatan Damar Laut pada 11 pagi, polis menahan sepasangan keksaih masing-masing berusia 38 dan 42 tahun.
Beliau berkata hasil maklumat daripada pasangan terbabit, satu lagi serbuan dijalankan ke atas sebuah rumah di Lengkok Pemanchar, Gelugor pada 3.30 petang dan menahan seorang lelaki Rohingya berusia 25 tahun dan lelaki Bangladesh, 30.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas 17 ketulan mampat dadah disyaki ganja anggaran berat 12,834.80 gram bernilai RM38,493 selain menyita dua motosikal jenis Honda EX5 dan Wave serta sebuah kereta jenis Toyota Camry bernilai RM13,500 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM51,993.
“Hasil siasatan, pasangan kekasih itu dikatakan mendapat bekalan ganja daripada warga asing terbabit dan menjual kepada penagih di sekitar Barat Daya manakala dua suspek warga asing aktif mengedar bahan terlarang itu di sekitar Timur Laut sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.
Sazalee berkata siasatan mendapati dadah berkenaan dibeli pada harga RM1,200 sekilogram dan dijual semula dengan harga lebih tinggi sekitar RM3,000 sekilogram.
Katanya, semakan dengan pihak Imigresen mendapati kedua-dua suspek warga asing itu mempunyai dokumen sah manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah.
Menurutnya, pasangan kekasih terbabit didapati mempunyai rekod dadah dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari hingga 17 April, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.