KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM) menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membangunkan sistem baharu pangkalan data pemandu serta mewajibkan pemasangan peranti had laju atau Speed Limitation Device (SLD) pada semua kenderaan berat termasuk bas ekspres dan bas persiaran.

Pengerusi PBEM Mohamad Nazri Md Yusof berkata sistem itu membantu pengusaha bas menyaring pemandu yang ingin diambil bekerja dengan memilih mereka yang mempunyai rekod kerja baik, selain mengelakkan pengambilan pemandu berdisiplin rendah dan mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi.

“Dengan adanya sistem ini, pengusaha bas juga dapat menjimatkan masa dan kos dalam proses pengambilan pemandu, memudahkan pemantauan serta mengenal pasti pemandu yang memerlukan latihan tambahan. Secara tidak langsung, ia mampu meningkatkan imej syarikat sekiranya tiada kemalangan serius berlaku akibat kecuaian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata PBEM turut menyokong cadangan mewajibkan pemasangan SLD pada setiap bas bagi tujuan pengoperasian, sebagai tambahan kepada pemasangan sistem GPS yang telah diwajibkan sebelum ini.

Beliau berkata pemanduan melebihi had laju dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Justeru, pemasangan SLD pada unit kawalan elektronik (ECU) setiap bas dengan spesifikasi utama tidak boleh dipadam atau dimatikan sudah tentu mampu menghalang pemandu daripada memandu melebihi had laju secara automatik,” katanya.

Mohamad Nazri menegaskan PBEM komited membantu kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas ekspres, terutamanya daripada aspek keselamatan penumpang.

Beliau turut menasihatkan ahli PBEM agar tidak hanya mementingkan keuntungan syarikat semata-mata, sebaliknya mengutamakan keselamatan penumpang dan pemandu dengan mematuhi semua undang-undang, peraturan serta syarat lesen ditetapkan kerajaan.