MELAKA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi peringatan kepada semua agensinya terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) agar melaksanakan semua projek yang mendapat peruntukan kementerian secara telus dan mengikut piawaian ditetapkan.

Menterinya Nga Kor Ming berkata ini berikutan setiap negeri melalui PBT menerima peruntukan yang besar daripada KPKT bagi melaksanakan projek untuk kemajuan komuniti di setiap kawasan terlibat.

“Sempena pengumunan peruntukan yang begitu besar hari ini, saya hendak beri mesej kepada empat PBT di Melaka bahawa kita (KPKT) akan memantau sendiri bagaimana PBT guna duit (yang diperuntukkan) dan saya tegaskan setiap sen peruntukan yang diturunkan wajib mematuhi Analisis Kos Faedah (CBA).

“Kita tidak mahu lagi kes tong sampah berharga RM100 tetapi PBT beli RM500 dan jika ini terus berlaku tahun depan kita akan potong peruntukan malah satu sen pun saya tidak akan bagi lagi,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Medan Selera Sultan Muhammad di Batu Berendam, di sini sempena rangka lawatan program Sentuhan Kasih KPKT, yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Menurut Nga semua peruntukan yang diberikan kepada PBT adalah berdasarkan prestasi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana PBT yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.

“...kita akan keluarkan surat teguran kepada pegawai yang bertanggungjawab dan peruntukan kepada YDP (Yang Dipertua) dan barisannya pada tahun berikut akan dipotong sebagai mesej agar dia wajib mencapai prestasinya,“ katanya.

Terdahulu, Nga mengumumkan peruntukan sebanyak RM83.66 juta kepada Melaka bagi merealisasikan 17 projek yang berperanan penting dalam strategi pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

Peruntukan tersebut merangkumi kategori bina baharu serta projek sambungan dan merupakan yang terbesar dalam sejarah Melaka, dengan nilai terbesar disalurkan untuk pembinaan baharu projek Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) iaitu RM22.31 juta.