• 2025-09-22 04:06 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa pada 27 September khusus untuk warga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM percaya inisiatif itu akan memberi implikasi positif kepada warganya yang bertugas di seluruh pelusuk negara.

“Pengurangan beban kos bahan api secara langsung dapat meningkatkan motivasi dan daya tahan anggota dalam melaksanakan amanah demi menjamin ketenteraman serta keselamatan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Kementerian Kewangan menyatakan sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September diikuti 30 September bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

Mohd Khalid berkata sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang mendukung aspirasi Malaysia MADANI, PDRM melihat inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup bahkan memperkukuh kesejahteraan sosial dan kestabilan negara selain membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara adil dan berkesan,” katanya.

Beliau turut memuji pendekatan inovatif penggunaan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan yang disifatkan selaras dengan usaha pendigitalan negara.

Inisiatif ini merupakan manifestasi kerajaan dalam mengoptimumkan teknologi bagi memastikan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari. – Bernama