HONG KONG: Pearly Tan dan M. Thinaah gagal mempertahankan gelaran kejuaraan Terbuka Hong Kong selepas tewas kepada pasangan China Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian dalam separuh akhir.
Naib juara dunia itu tunduk 14-21 dan 11-21 dalam perlawanan yang hanya berlangsung selama 35 minit.
Kekalahan ini menamatkan kempen Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas Pearly-Thinaah menjadi wakil tunggal negara yang mara ke peringkat separuh akhir.
Thinaah mengakui pukulan agresif pasangan China menyukarkan mereka untuk mengawal rentak permainan.
“Banyak pukulan yang membuatkan kami lebih bertahan dan ketika itulah serangan lawan menjadi lebih menekan dan agresif,“ katanya.
Pearly pula menyatakan mentaliti mereka rapuh ketika cuba menambah mata sewaktu mendahului perlawanan.
“Pada satu ketika, fokus kami semakin menurun dan kami melakukan banyak kesilapan mudah serta mengikut rentak permainan lawan,“ tambahnya.
Pasangan negara itu memerlukan rehat beberapa hari sebelum menyambung latihan untuk persiapan kejohanan seterusnya.
Pearly-Thinaah merupakan juara bertahan Terbuka Hong Kong 2024 selepas menewaskan pasangan China Liu Shengshu dan Tan Ning dalam perlawanan akhir tahun lalu. – Bernama