MANILA: Jabatan Pekerja Migran (DMW) Filipina mengesahkan bahawa kesemua 31 pekerja Filipina di luar negara (OFW) yang terkandas ekoran penutupan sementara ruang udara Qatar berada dalam keadaan selamat dan kini menerima bantuan sewajarnya, selepas penerbangan pulang mereka ke Manila mengalami kelewatan.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kesemua 31 rakyat Filipina — majoritinya dari wilayah diduduki Israel (26), selebihnya dari Jordan (3), Palestin (1) dan Qatar (1) — berada dalam keadaan selamat dan sihat,” kata Setiausaha Pekerja Migran Hans Leo Cacdac dalam kenyataan rasmi yang dipetik Agensi Berita Filipina (PNA) pada Selasa.
Cacdac, yang turut bersama kumpulan itu berkata, pegawai Kedutaan Filipina di Doha sedang memberikan bantuan secara langsung sementara mereka menunggu pengesahan jadual penerbangan baharu.
Usaha penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada program berterusan kerajaan Filipina di bawah arahan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. untuk membawa pulang rakyatnya dari kawasan yang terjejas akibat konflik.
Penutupan ruang udara Qatar yang berlaku lewat Isnin menjejaskan penerbangan komersial, termasuk pesawat yang membawa kumpulan berkenaan.
Cacdac turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri Qatar kerana bertindak pantas membuka semula ruang udara dan memastikan keselamatan semua yang terlibat.
“Dengan Kementerian Dalam Negeri Qatar mengawal keadaan, ruang udara kini dibuka semula dan kami sedang menunggu pengesahan jadual penerbangan yang baharu,” katanya.
Qatar sebelum ini menutup ruang udaranya susulan serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat, sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran pada 21 Jun lalu.