SEPANG: Seorang pelajar perempuan sebuah universiti tempatan ditemukan maut di sebuah kondominium di Cyberjaya pada Selasa lepas, dengan disyaki dibunuh.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata laporan polis diterima pada 10.28 pagi berhubung penemuan pelajar berusia 20 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa, seorang pelajar universiti tempatan, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tiada kesan pecah masuk ditemui di kediaman mangsa. Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa menunjukkan kecederaan di bahagian kepala. Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat.
“Bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah blunt force trauma to the head dan tiada tanda rogol,” jelas Norhizam.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau melaporkan di balai polis terdekat.
“Kami menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebar maklumat tidak benar yang boleh mengganggu siasatan,” tegas Norhizam.