SEMPORNA: Sektor pelancongan Sabah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM3.3 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2025, hasil daripada ketibaan kira-kira 1.44 juta pelawat.
Prestasi ini menunjukkan pemulihan kukuh industri pelancongan negeri itu selepas menghadapi cabaran sebelum ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata peningkatan konsisten dalam ketibaan pelawat, terutamanya dari pasaran antarabangsa, adalah hasil daripada tahap keselamatan yang tinggi di negeri itu.
“Kejayaan ini tidak terlepas daripada kerjasama dan kawalan rapi oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom),“ katanya.
Beliau menekankan bahawa Sabah tidak mencatat sebarang insiden penculikan untuk wang tebusan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, membuktikan keberkesanan ESSCom dalam menjaga keselamatan perairan dan komuniti setempat.
Menurut data Lembaga Pelancongan Sabah (STB), jumlah ketibaan pelancong antarabangsa mencecah 559,150 orang, manakala pelancong domestik mencatat 879,420 ketibaan.
China kekal sebagai penyumbang utama pelancong antarabangsa dengan 243,688 ketibaan, diikuti Korea Selatan (76,685).
Joniston turut memaklumkan peningkatan ketara pelancong dari Eropah, dengan 35,240 ketibaan — lonjakan 25.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pasaran utama Eropah termasuk United Kingdom dan Ireland (13,910), Jerman (3,854), dan Perancis (2,750).
Amerika Syarikat dan Kanada masing-masing mencatat 9,356 dan 2,949 ketibaan. – Bernama