KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pesawat udara miliknya bagi mencari tiga mangsa yang masih hilang dalam insiden pelanggaran bot nelayan dan tongkang di perairan Kemaman pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 8.40 pagi tadi dengan pangkalan hadapan telah dibuka di Jeti Haji Pa di Kemaman.
“Bot Penggalang 17 telah diatur gerak ke tempat kejadian manakala pesawat udara APMM sedang diatur gerak untuk melaksanakan pencarian melalui udara di sekitar kawasan kejadian.
“Usaha Carilamat turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis. Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman turut membantu usaha mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata seorang wanita lemas, manakala tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita masih hilang dalam kejadian bot nelayan dan tongkang berlanggar di kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari perairan Kuala Kemaman pada 6.30 pagi tadi.
Beliau berkata tiga lelaki dan dua wanita terselamat dalam kejadian tersebut dan kesemua mangsa yang menaiki bot nelayan berusia antara 23 hingga 79 tahun.
Hanyan berkata pihaknya masih mengesan tongkang yang terlibat dalam perlanggaran tersebut.