• 2025-10-11 07:32 PM

MELAKA: Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 merupakan inisiatif tepat bagi merancakkan semula sektor pelancongan domestik.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyatakan pelepasan itu memberi manfaat kepada rakyat dan menyuntik ekonomi kepada penggiat industri pelancongan.

Beliau berkata pelbagai promosi dan pakej pelancongan menarik akan disediakan untuk menggalakkan lebih banyak rakyat memilih Melaka sebagai destinasi percutian domestik.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan kerajaan, agensi pelancongan dan pemain industri untuk menyediakan pelbagai pakej promosi menarik bagi memastikan rakyat Melaka benar-benar memanfaatkan insentif ini,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ketika membentangkan Belanjawan 2026.

Pelepasan khas sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan potongan cukai sehingga RM500,000 kepada pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan.

Beliau berkata syarikat pengendali pelancongan diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.

Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun.

Syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan 50% ke atas pendapatan berkanun. – Bernama