• 2025-06-29 09:52 PM

KUALA LANGAT: Pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak memberi kesan besar kepada kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak ke institusi pendidikan swasta seperti taska, tadika, dan prasekolah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menjelaskan bahawa Cukai Perkhidmatan (CP) hanya akan dikenakan kepada pengusaha yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setahun bagi seorang pelajar.

“Ini lebih kepada mereka yang menghantar anak ke institusi swasta, yang bermakna mereka ini mampu.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana kebanyakan institusi swasta tidak mengenakan yuran setinggi itu,“ katanya selepas Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025 di sini hari ini.

Nancy turut menasihati pengusaha agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan yuran secara berlebihan.

“Kita harap mereka menjalankan tugas dengan jujur untuk membantu ibu bapa. Jangan kenakan bayaran berlebihan hanya kerana ada peluang,“ tegasnya.

CP sebanyak enam peratus yang bermula 1 Julai ini tidak dikenakan kepada warganegara Malaysia yang kurang upaya (OKU).

Sebelum itu, Nancy menyampaikan anugerah kepada lima ikon cemerlang Program Anjung Sinar Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam kategori Pendidikan, Kepimpinan, Komuniti, Kerjaya, dan Sukarelawan.