KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) akan memberi tumpuan serius terhadap usaha membanteras penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan belia berpendidikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perkara itu akan menjadi antara agenda utama dalam Perhimpunan Agung PEMADAM Kebangsaan ke-46 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Ogos ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
“PEMADAM perlu bergerak ke hadapan sesuai dengan perubahan yang berlaku ketika ini. Tumpuan kita kepada dadah sintetik yang mudah didapati kerana harganya murah serta menjadi pilihan golongan muda berusia 15 hingga 30 tahun, termasuk yang berpendidikan tinggi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa perhimpunan ini akan menjadi titik tolak perubahan untuk PEMADAM, bukan sahaja dari segi strategi pencegahan, tetapi juga dengan penyertaan lebih ramai pimpinan muda dan ahli akademik dalam barisan PEMADAM Kebangsaan.
PEMADAM telah turun padang ke beberapa negeri seperti Kelantan, Pulau Pinang, dan Sabah untuk bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memahami situasi sebenar penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
“Kajian yang dibuat oleh AADK jelas menunjukkan bahawa individu yang terlibat dalam penggunaan dadah kini turut merangkumi golongan berpendidikan tinggi, malah ada yang mempunyai PhD, terutamanya di Pantai Timur,” jelas Shamsul Anuar.
Perhimpunan agung itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bakal menjadi platform untuk menyampaikan mesej dalam usaha berterusan membanteras dadah. – Bernama