BANDAR PERMAISURI: Seorang pemandu bot berusia 22 tahun yang terlibat dalam kemalangan bot terbalik di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas telah direman selama tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Rabu dikeluarkan oleh Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemandu tersebut disahkan positif dadah dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang. Tragedi itu mengorbankan tiga penumpang, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, manakala dua lagi cedera dengan seorang dalam keadaan kritikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu, kejadian berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika bot dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam. Ombak besar secara tiba-tiba menyebabkan bot terbalik.