• 2025-09-16 09:01 PM

KUANTAN: Pemandu jentera pengorek yang dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di tapak kuari Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub ditemukan meninggal dunia hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pasukan mencari dan menyelamat menemukan mayat Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, pada 4.15 petang tadi.

“Mayat ditemukan dalam keadaan sempurna pada kedalaman lima meter dengan jarak kira-kira 12 meter dari lokasi mangsa dilaporkan tertimbus,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Salahuddin berkata hampir 70 anggota antaranya daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pekerja kuari terlibat dalam operasi SAR hari keempat bermula 8 pagi tadi.

Operasi turut melibatkan bantuan anjing pengesan daripada JBPM dan PDRM.

Difahamkan, pasukan SAR bersama penduduk kampung turut melakukan solat hajat di lokasi kejadian hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari Sabtu lepas, Mohammad Fazrul Illahi dilaporkan sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu.

Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera yang dipandunya, sebelum dihempap dan tertimbus batu manakala tiga pekerja warga asing turut dilaporkan cedera dalam kejadian itu. – Bernama