BATU PAHAT: Seorang pemandu dan kelindan maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer (KM) 81.9, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata mereka yang maut dalam kejadian 8.30 pagi itu ialah pemandu lori muatan barangan elektronik R Pubalan, 45, dan kelindannya R Sivasanthiran, 35.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa menghala ke selatan telah merempuh bahagian belakang lori membawa muatan kayu.

“Akibat rempuhan itu, lori yang membawa muatan kayu pula terus merempuh sebuah lagi lori yang membawa muatan minyak.

“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori muatan kayu cedera ringan di kaki dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Bagaimanapun, pemandu lori muatan minyak tidak mengalami kecederaan,“ katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai menyaksikan kejadian itu boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.