• 2025-08-14 04:56 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis.

Muhammad Farhan Baharudin, 34, didakwa melanggar Koperal Mohamad Sallehin Ab Rahman sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Kecederaan tersebut termasuk luka abrasi pada lutut kanan dan lebam pada siku serta dinding dada.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di simpang keluar Lebuhraya AKLEH ke Jalan Tun Razak pada 8 Ogos.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan RM15,000 dengan syarat lapor diri bulanan.

Peguam tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan kewangan terhad.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan jaminan RM8,000 dengan syarat yang sama.

Kes ini akan disebut semula pada 6 Oktober depan. - Bernama