KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pengendali bas dan logistik memasang sistem telematik yang dihubungkan terus ke pangkalan data pemandu merupakan langkah proaktif ke arah memperkukuh keselamatan pengangkutan awam dan komersial di Malaysia.
Pakar bidang kejuruteraan automotif dan pengangkutan Dr Mohd Azman Abas berkata sistem telematik membolehkan kelajuan, penggunaan brek mengejut, pertukaran lorong secara mengejut, pecutan mendadak, keletihan pemandu, dan tingkah laku pemanduan dipantau secara langsung.
“Penguat kuasa dan pengusaha bas perlu memberi amaran secara langsung sekiranya pemandu memandu secara berbahaya. Melalui sistem ini, status lesen, saman tertunggak, rekod disiplin dan kesalahan lampau pemandu dapat dipantau secara automatik. Sekiranya pemandu mempunyai saman aktif atau tidak layak memandu, sistem boleh menghalang mereka.
“Sekiranya berlaku kemalangan, data telematik termasuk kamera litar tertutup onboard boleh digunakan untuk menganalisis punca secara objektif dan mempercepat siasatan. Ia juga membantu memastikan ketelusan dalam siasatan kemalangan. Sistem telematik menjadikan pengusaha bas tidak boleh lagi lepas tangan terhadap tingkah laku pemandu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah menyeluruh bagi memastikan tragedi seperti kemalangan bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, tidak berulang, termasuk dengan penggubalan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap semua pengendali pengangkutan awam.
Pengarah Automotive Development Centre (ADC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru itu berkata antara cadangan tambahan untuk mengurangkan risiko ialah penggunaan sistem masa nyata pemantauan kelajuan dan masa pemanduan, pengehad kelajuan dan sensor tali pinggang keledar.
“Buat masa ini, tiada sistem pemantauan aktif antara pengusaha bas dengan pihak penguat kuasa. Tindakan lebih tegas perlu dikenakan kepada pemandu sekiranya didapati mereka masih memandu walaupun mempunyai banyak saman tertunggak atau kesalahan berat, dan lesen memandu profesional mereka perlu digantung serta-merta.
“Pemandu terbabit juga boleh dikenakan larangan seumur hidup daripada memandu kenderaan pengangkutan awam sekiranya didapati berulang kali melanggar undang-undang. Hukuman lebih berat wajar diperkenalkan seperti penjara, denda maksimum, dan kehilangan hak permit memandu komersial,” katanya.
Mohd Azman turut mencadangkan supaya pengusaha bas diwajibkan memantau secara berkala rekod saman serta disiplin pemandu, dan sekiranya gagal mengambil tindakan, pengusaha juga boleh dikenakan tindakan undang-undang liabiliti korporat kerana membiarkan pemandu berisiko terus memandu.
“Tidak boleh ada kompromi atas alasan kekurangan pemandu atau faktor operasi. Ada pengusaha yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil serius soal latar belakang pemandu,” katanya.
Beliau berkata semua syarikat pengendali bas juga mesti diwajibkan menjalani audit berkala oleh penguat kuasa atau agensi keselamatan berkaitan bukan sahaja terhadap keadaan bas, tetapi termasuk rekod pemandu, latihan keselamatan, prosedur operasi standard (SOP) kerja, dan pengurusan waktu rehat pemandu.
Sementara itu, aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata kerajaan perlu mewajibkan pengendali bas dan logistik memasang sistem telematik untuk dihubungkan kepada pangkalan data pemandu sebagai antara syarat pelesenan.
“Saya merujuk kepada laporan berita mengenai pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bakal membangunkan sistem pangkalan data untuk pemandu bas ekspres dan persiaran, lengkap dengan rekod mereka sebelum ini, bagi meningkatkan keselamatan pengangkutan darat.
“Sudah menjadi perkara biasa untuk kita mendengar bahawa pemandu mempunyai begitu banyak saman, tetapi masih dibenarkan memandu kenderaan berat termasuk lori, bas ekspres, bas henti-henti dan bas persiaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrim yang juga bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata hal ini disebabkan tiada keselarasan antara agensi penguat kuasa bagi rekod kesalahan trafik dan keselamatan kenderaan bagi pemegang lesen vokasional, iaitu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk bas dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dalam sektor logistik.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan melaksanakan sistem pangkalan data berpusat atau dikenali sebagai Drivers and Commercial Vehicles Information System (DCVIS) yang cuba diusahakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2017 untuk kenderaan berat dalam sektor pengangkutan dan logistik merangkumi bas ekspres, bas persiaran, lori, pengangkutan haulage dan bas henti-henti.
“Objektif SPAD pada ketika itu untuk melaksanakan sistem elektronik bagi pangkalan data pemandu bersepadu ke dalam semua rekod pengendali bagi tujuan saringan pemandu dengan rekod yang baik (kesalahan lalu lintas dan jenayah).
“DCIVS bertindak sebagai pemula proses saringan melalui sentuhan kad RFID untuk sistem telematik di dalam kenderaan supaya pemandu yang hanya mempunyai rekod bersih boleh memulakan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu membangunkan satu sistem pengesanan (telematik) dan pengurusan rekod yang menyeluruh bagi pengendali kenderaan berat yang dikenali Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS).
Loke semalam berkata penggunaan peranti had laju (SLD) terhadap kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran dikuatkuasakan secara berperingkat bermula pada 1 Okt ini menerusi JPJ, sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.